Gol pada babak pertama permainan yang dirancang oleh pemain antarabangsa Ukraine kelahiran Brazil, Marlos, sudah cukup membantu juara Ukraine itu melayakkan diri ke majlis undian yang akan diadakan Isnin ini, untuk duduk sebaris bersama-sama Barcelona, Manchester United dan Paris Saint-Germain.

Shakhtar hanya memerlukan satu mata untuk melepasi halangan Kumpulan F selaku naib juara kepada City.

Walaupun, City mendominasi permainan, skuad bimbingan Pep Guardiola itu gagal mengelak daripada ditimpa kekalahan pertama, musim ini.

Kedudukan selaku juara kumpulan yang telahpun disahkan lebih awal, City yang dalam persiapan menjelang aksi derby Manchester di Old Trafford, mendorong kepada keputusan Guardiola mengubah kesebelasan utamanya dengan memberi laluan kepada pemain remaja berbakat besar, Phil Foden melakukan penampilan sulung bersama pasukan senior.

Bernard dan Ismaily menjaringkan gol pada minit ke-26 dan ke-32 bagi meletakkan Shakhtar selesa mendahului 2-0, sebelum bintang antarabangsa Argentina, Sergio Aguero menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk City. - AFP