Presiden Pafa, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sebaliknya mengumumkan pengekalan 12 pemain tempatan musim lalu dan lapan lagi pemain baharu dengan sasaran untuk mencapai kedudukan tiga terbaik liga serta sekurang-sekurangnya merangkul satu piala pada musim depan.

Turut dikekalkan ialah barisan pengurusan The Bos Gaurus melibatkan Mehmet Durakovic selaku ketua jurulatih dan Ahmad Shahrul Azhar sebagai pengurus pasukan.

Abdul Puhat berkata, Pafa juga telah bersetuju untuk mengekalkan khidmat dua pemain import musim lalu iaitu Leandro Dos Dantos Oliveira dan Gilmar Jose Da Silva.

"Pafa akan memenuhkan kuota tiga pemain import bagi melengkapkan senarai 25 pemain bagi musim 2018. Bagi tujuan ini, ketua jurulatih sedang mengenal pasti dan meneliti beberapa pemain import untuk mengisi kuota tersebut dan perkara ini dijangka diselesaikan pada bulan ini.

"Pafa juga sedang mengkaji kemampuan dan kelayakan beberapa orang pemain tempatan khususnya dari pasukan Piala Presiden untuk mengisi lima lagi kekosongan untuk ke pasukan Liga Super kerana kita percaya Perak mempunyai banyak bakat-bakat baharu yang boleh dicungkil," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Seramai 12 pemain musim lalu yang dikekalkan ialah Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Khairul Amri Salehuddin sebagai penjaga gol diikuti oleh Shahrul Mohd. Saad, Amirul Azhan Aznan, Mohamad Idris Ahmad, Nazirul Naim Che Hashim, Mohamad Nasir Basharudin, D. Kenny Pallraj, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri, Mohd. Hafiz Kamal, Mohd. Nizad Ayub dan Mohd. Nazrin Nawi.

Lapan pemain baharu pula terdiri daripada Brendan Gan, Nor Hakim Hassan (T-Team), Rafiuddin Roddin (Pulau Pinang), Muhammad Syazwan Zaipol Bahari (PKNP FC), Muhamad Rizal Che Aziz (Piala Presiden), Muhammad Nasrullah Abdul Aziz (Piala Presiden), Muhammad Rafiq Faeez Muhammad Fuad dan Khairul Asyraf Sahizah. - UTUSAN ONLINE