Shahrel yang kini beraksi bersama kelab dari Thailand, Nakhon Ratchasima mahu mengetepikan kepenatannya dan berusaha untuk mencuri perhatian jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

“Saya bertolak ke Malaysia pukul 6 pagi kelmarin waktu Thailand dan saya melaporkan diri pada pukul 10 pagi. Saya terpaksa menempuh tempoh perjalanan yang lama berikutan dari Korat ke Bangkok mengambil masa tiga jam.

“Secara keseluruhan perjalanan saya sebelum melaporkan diri adalah sembilan jam namun tidak mengapa kerana ini sebahagian daripada pengorbanan yang saya perlu lakukan demi negara.

“Saya berasa bangga apabila dapat menyertai kem latihan kebangsaan selepas menyertai kelab di Thailand kerana itu menunjukkan perkembangan saya sentiasa dipantau dan jika diberi peluang saya mahu menunjukkan aksi terbaik,” katanya.

Shahrel antara 24 pemain yang dipanggil oleh Cheng Hoe bagi menjalani kem latihan Harimau Malaya bermula semalam bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Taiwan di Taipei City pada Jumaat ini sebelum bertemu Kemboja di Phnom Penh tiga hari kemudian.

Pemain berusia 24 tahun itu berdepan tugas berat bagi memastikan dirinya berada dalam kesebelasan utama apabila perlu bersaing dengan empat lagi penyerang seperti Norshahrul Idlan Talaha, Zaquan Adha Abd Razak, Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid.

Dua aksi persahabatan menentang Taiwan dan Kemboja merupakan persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF yang bakal berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember ini yang mana Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.