Pengurus pasukan Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah yang mengesahkan perkara itu berkata, peluang Muhammad Shahrel untuk menyertai Perak begitu cerah dan perbincangan mengenai kontrak pemain itu sedang dijalankan.

Menurutnya, Pafa berbesar hati untuk 'mengundang' pemain yang dipinjaman kepada Kelab Liga Divisyen 1 Thailand, Nakhon Ratchasima FC itu dan kini hanya menunggu persetujuan daripada Muhammad Shahrel.

“Ya kita sudah berbincang dan saya yakin dalam masa terdekat kita akan dapat persetujuan beliau.

“Peluang beliau menyertai Perak amat cerah. Cuma ada sikit masalah iaitu persetujuan dia dengan Pafa mengenai syarat yang diletakkan untuk sama rata dalam kalangan semua pemain agar tidak ada perasaan berbelah bahagi, biar sama rata dari segi kontrak semua pemain,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis perkahwinan penjaga gol pasukan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan pasangannya, Farah Nadiah Mohammad Khalim, 24, di Kelab Golf Diraja Perak di sini hari ini.

Muhammad Shahrel Fikri sebelum ini mengakui dia mendapat lamaran untuk beraksi bersama Perak dan berada dalam dilema untuk kekal di PKNP atau menyertai Perak.