Muhd. SHAHREL FIKRI FAUZI menjaringkan tiga gol ketika membantu PKNP mencipta kejutan ke atas Felda United di Jengka.

Shahrel mencuri tumpuan dalam pertemuan suku akhir pertama kedua-dua pasukan di Jengka apabila memporak-perandakan kubu Felda dan menjaringkan tiga gol untuk membantu pasukannya mencipta kejutan dengan kemenangan 3-1 sekali gus meletakkan PKNP dalam kedudukan selesa untuk ke separuh akhir.

Katanya, walaupun pergerakannya akan cuba dikekang pemain lawan, namun situasi tersebut tidak akan melunturkan tekadnya untuk membantu PKNP FC mara ke kelompok empat pasukan terakhir.

“Saya meramalkan pertahanan Felda United akan berusaha merantai pergerakan saya dengan kemas tetapi saya tidak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menjaringkan gol.

“Menjaringkan gol sudah pasti menjadi tugas setiap pemain dan saya mahu meledak gol lagi. Saya perlu bekerja keras untuk perlawanan esok.

“Kedudukan kami masih belum selamat. Saya menggesa rakan sepasukan agar tidak berasa terlalu yakin sebab saya yakin pemain Felda United pasti berusaha untuk bangkit dan mereka mempunyai barisan pemain yang berpengalaman,” katanya lagi.

Sementara itu, perlawanan tumpuan pastinya terarah kepada Selangor menentang Kedah di Stadium Darul Aman apabila skuad Red Giants itu terdesak memburu kemenangan selepas tumpas 3-2 dalam suku akhir pertama di laman sendiri pada minggu lalu.

Beraksi di kubu kuat skuad Lang Merah pastinya memberi kesukaran kepada Selangor dalam usaha mereka untuk menempah tiket ke peringkat separuh akhir kejohanan.