Shahidan berkata, beliau sedia kembali untuk membawa perubahan kepada pasukan bola sepak Perlis selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Lepas PRU-14 ini, kita akan urus bola sepak dengan baik untuk melihat perubahan dalam pasukan bola sepak negeri ini.

“Saya akan berusaha membantu dengan sehabis baik bersama rakan-rakan lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan bersama jentera Jalinan Rakyat (JR) Arau di Pusat Khidmat Masyarakat Kubang Gajah di sini hari ini.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan PFA berhadapan dengan masalah isu pembayaran gaji melibatkan para pemainnya meskipun baru di awal musim Liga FAM.

Difahamkan gaji  yang sepatutnya dibayar kepada kira-kira 30 orang pemain itu pada 7 hari bulan setiap bulan  telah tertunggak selama hampir dua bulan, walaupun mereka diarah menjalani latihan setiap hari.

Bagaimanapun Presiden PFA,Ir. Shahruddin Ismail minggu lalu mengesahkan bahawa kelewatan pembayaran gaji itu adalah disebabkan penarikan penaja utama di saat-saat akhir.

Shahruddin dilaporkan berkata, jumlah itu melibatkan penajaan sebanyak RM5 juta yang cukup untuk menampung kos untuk semusim pasukan Singa Utara dalam Liga FAM.

Untuk rekod Singa Utara sebelum ini merupakan antara gergasi bola sepak negara apabila pernah memenangi pelbagai kejuaran seperti Piala Malaysia pada 2004,2006 dan Liga Super pada tahun 2005 iaitu ketika zaman Shahidan menjadi Presiden PFA.

Sementara itu, Shahidan ketika ditanya sama ada beliau sedia kembali menjadi Presiden PFA, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu hanya memaklumkan kepada media supaya tunggu selepas PRU-14.- UTUSAN ONLINE