Zainuddin Osman yang merupakan Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bagi sesi 2019-2021 selepas pemilihan Jawatankuasa Eksekutif baharu PFA sempena Kongres Luar Biasa (EGM) yang berlangsung di sini hari ini.

Sejurus selepas dilantik, Zainuddin, 64, yang juga bekas pemain bola sepak Perlis era 1970-an bakal memulakan langkah awal dengan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memujuk badan induk bola sepak itu agar membuka kembali pintu kepada Perlis menyertai Liga Malaysia.

Katanya, pertemuan yang dijadual berlangsung pada Jumaat ini juga bakal membincangkan pelbagai isu berkaitan PFA termasuk masalah kewangan dan tunggakan gaji pemain.

“Kita juga akan meneliti keadaan semasa kewangan PFA seterusnya akan berusaha mencari dana bagi membangunkan kembali pasukan bola sepak negeri ini.

“Kita nak lihat dahulu dokumen oleh pengurusan terdahulu. Selepas kita berjumpa dengan FAM barulah kita muktamadkan apa yang perlu dan apa yang tidak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seterusnya beliau turut mengalu-alukan kepada mana-mana pihak untuk turut sama membantu Perlis mencipta kembali nama dalam arena bola sepak negara selepas sekian lama tenggelam.

Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden PFA disandang oleh Zamri Ibrahim bagi menggantikan Mohd. Abdul Karim Mansor Ahmad Khan yang tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan tersebut.

Bagi jawatan Naib Presiden, masing-masing disandang oleh Afizal Zain Othman; Tan Boon Hun dan Datuk Ismail Osman. - UTUSAN ONLINE