Malah ketua pasukan, Mohd. Badhri Radzi mengakui, beberapa rakannya telah menerima tawaran baharu, namun mereka menolak kerana mahu membalas budi TRW yang telah banyak berjasa.

Katanya, keputusan untuk terus kekal itu juga didorong oleh semangat setiakawan yang me­nebal untuk terus kekal bersama biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesukaran.

“Tanpa TRW, maka malaplah sai­ngan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan. Ini kerana TRW mempunyai kekuatan penyokong yang luar biasa dan perkara tersebut telah terbukti dalam beberapa musim terdahulu.

“Saya bukan hendak menidakkan kekuatan penyokong pasukan lain, namun itulah hakikatnya ke­rana bola sepak sebati dengan rakyat negeri ini.

“Jesteru, saya berharap barisan kepemimpinan Kafa dapat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan pasukan ini terus kekal di Liga M musim hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dia berkata demikian selepas mengulas kenyataan bekas Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa yang membayangkan Kelantan hanya mampu bertahan selama tiga bula sekiranya meneruskan saingan tanpa dana mencukupi.

Selain Mohd. Badri antara tonggak TRW yang kekal ialah penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat, Nik Shahrul Azim Ab. Halim, Farisham ­Ismail, Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak, Mohd. Badri, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Nor Farhan Mohamed, Shahrizan Ismail, Nor Hafiz Zamani Misbah, Khairul Izwan Rosli.

Skuad itu juga diperkukuhkan dengan kehadiran be­berapa pemain ba­wah 23 negara seperti, kapten Mohd. Farsihah Rosli, Mohd. Qayyum Marjoni Sabil dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Mohd. Badri yang lebih dikenali sebagai Piya memberitahu, barisan pemain Kelantan berharap Kafa dapat memberi maklumat terkini berhubung masa depan pasukan itu.

Katanya, maklumat tersebut amat penting bagi meredakan kerisauan dalam kalangan pemain ketika ini.

Sementara itu, Mohd. Qayyum Marjoni Sabil turut berharap Kelantan terus kekal da­lam Liga M dan tidak menarik diri di saat akhir kerana tin­dakan itu akan menjejaskan pe­­riuk nasi mereka sebagai pemain profesional.

“Saya harap kongres Luar Biasa Kafa yang berlangsung pada 29 Di­sember ini dapat memberi satu keputusan postif iaitu Kelantan kekal di Liga M,” ujarnya.