Liverpool kini tidak boleh keciciran mata dalam baki dua perlawanan apabila bertandang ke Chelsea pada 6 Mei, diikuti Brighton pada 13 Mei.

Biarpun anak-anak buah Jurgen Klopp memegang kelebihan enam mata ke atas Chelsea, yang ketika ini menghuni tangga kelima, namun Blues memiliki kelebihan dua perlawanan berbanding Reds.

Empat pasukan teratas la­yak ke Liga Juara-Juara. Manchester City yang sudah dinobat sebagai juara liga mengungguli saingan dengan 90 mata, diikuti Manchester United (74), Liverpool (72) dan Tottenham 68 mata.

Liverpool yang merehatkan beberapa pemain utama termasuk Sadio Mane dalam persiapan menghadapi AS Roma pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, Khamis ini me­nguasai sebahagian besar permainan, namun buntu mencari jaringan.

Selain hilang dua mata pen­ting, keputusan seri tanpa ja­ringan juga menyebabkan misi penyerang sensasi Mesir, Mohamed Salah untuk menyamai rekod legenda kelab, Ian Rush semakin sukar.

Rush masih memegang rekod 47 gol dalam satu musim (semua kejohanan) dan Salah kurang enam jaringan untuk menyamai rekod tersebut.

Begitu pun, peluang masih ada untuk Salah dalam baki dua perlawanan liga selain pada perlawanan timbal balik menentang Roma.

Sementara itu, dalam perlawanan di Anfield hari ini, Li­verpool mempunyai peluang terbaik untuk berada di depan pada minit kedua, namun rembatan Georginio Wijnaldum gagal menemui sasaran.

Salah hampir menjaringkan gol ke-42 musim ini, tetapi sepakan bola matinya pada minit ke-34 melewati tiang gol. – AGENSI