Beberapa insiden membayangi aksi Liga Perdana Inggeris antara dua pasukan yang memburu slot empat terbaik itu, terutama selepas Sergio Aguero berjaya menyamakan kedudukan buat tuan rumah hanya 18 minit setelah James Milner meletakkan Liverpool di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-51.

Kedua-dua pasukan berpeluang memenangi perlawanan, namun peluang terbaik Liverpool disia-siakan oleh Adam Lallana yang gagal melakukan tenda­ngan walaupun hanya berdepan de­ngan penjaga gol manakala Aguero dua kali melakukan sepakan yang tidak menepati sasaran ketika permainan menuju penghujung.

Baik Liverpool mahu pun City enggan keciciran mata yang mampu menggugat peluang mereka untuk mencari slot ke Liga Juara-juara musim depan, namun Guardiola tetap melihat pertemuan itu ibarat ‘cahaya di hujung terowong’ selepas pasukannya melalui hari malang apabila disingkir oleh Monaco dalam saingan elit Eropah Rabu lalu.

“Ini antara hari-hari paling menggembirakan dalam karier saya sebagai pengurus.

“Selepas kekalahan dalam Liga Juara-juara, selama dua hari kami sangat... sangat sedih dan dalam sesi latihan, kami tidak banyak bercakap.

“Sebab itu saya amat gembira hari ini. Mereka (pemain) memberikan segala-galanya di dalam padang,” kata Guardiola kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.

Guardiola, yang telah merangkul 21 trofi sepanjang membimbing Barcelona dan Bayern Munich sebelum ini, bagaimanapun mengakui penyudah kurang tajam menjadi punca utama pasukannya gagal mencatat kemenangan.

“Kami memiliki beberapa peluang tetapi tidak boleh menjaringkan gol, dan itu sebabnya mengapa kami tidak boleh bersaing dengan pasukan utama. Untuk memenuhi sasaran besar, anda mesti lebih klinikal di depan pintu gol,” katanya.

Liverpool juga mensia-siakan beberapa peluang, terutama kesilapan terbesar yang dilakukan Lallana. Pemain antarabangsa England itu tidak dikawal oleh sesiapa ketika berada di depan gawang dan dia menerima hantaran cantik daripada Roberto Firmino tetapi sepakannya tidak mengena bola.

Keputusan seri itu me­ngekalkan City di anak tangga ketiga liga dengan 57 mata selepas 28 perlawanan manakala Liverpool di tempat keempat dengan 56 mata.

Manchester United yang me­ngalahkan Middlesbrough 3-1 semalam mengekori Reds dengan empat mata, namun memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan. – AGENSI