Kegagalan mengutip tiga mata penuh menangguhkan hajat Liverpool untuk layak lebih awal ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dan terpaksa menunggu sehingga perlawanan terakhir Kumpulan E menentang Spartak Moscow di Anfield pada 7 Disember.

Gol penyamaan tuan rumah disempurnakan Guido Pizarro, tiga minit memasuki waktu kecederaan selepas dua jaringan Roberto Firmino serta satu gol Sadio Mane membolehkan Liverpool bermula dengan meyakinkan.

“Ia terasa seperti kami kalah perlawanan ini. Mereka (pemain) rasa seperti sudah menang (selepas mendahului 3-0) tetapi sebenarnya tidak.

“Sebelum perlawanan jika anda kata ia akan berakhir seri, saya akan cakap OK, boleh diterima. Bagaima­napun selepas melihat aksi babak pertama, kami tahu kami boleh menang.

“Penjelasannya mudah sahaja. Mengagumkan pada babak pertama, namun banyak kesilapan pada separuh masa kedua. Kami tidak teruskan bermain bola sepak. Kami jadi pasif, lawan menjaringkan gol pertama, kemudian suasana berubah dengan ketara.

“Selepas gol kedua, perlawanan menjadi terbuka tetapi kami tidak mampu menjaringkan gol menerusi serangan balas. Kami membuka ruang dan tidak menutupnya. Jadi mereka berjaya menja­ringkan gol (penyamaan) pada saat akhir. Itulah ceritanya,” kata Klopp.

Selepas lima perlawanan, Liverpool masih mendahului Kumpulan E dengan sembilan mata hasil dua kemenangan dan tiga seri. Mereka hanya perlu seri dengan Spartak bulan depan untuk mengesahkan tiket ke peringkat 16 terbaik.

Sevilla yang bangkit menerusi jaringan Wissam Ben Yedder pada minit ke-51 dan 60 (penalti) serta gol Pizarro berkedudukan tangga kedua dengan lapan mata, manakala Spartak yang seri 1-1 dengan Maribor di tempat ketiga (enam mata). –AGENSI