Varane yang menanduk gol pembukaan Les Bleus ketika menewaskan Uruguay 2-0 berkata, skuad muda Perancis semakin serasi dan matang selepas mengharungi pelbagai rintangan.

“Saya gembira dengan apa yang berlaku (menjaringkan gol).

“Ia sesuatu yang hebat. Kami berdepan cabaran fizikal semalam dan berjaya mengatasinya.

“Kami dibarisi pemain muda, namun mereka mempamer kematangan dan ia semakin meningkat sejak kejohanan bermula.

“Pertahanan kami juga mantap dan mampu menyesuaikan diri dengan lawan.

“Kami berjaya menyekat serangan Uruguay yang hebat,” kata tonggak pertahanan Real Madrid itu.

Belgium mempamer serangan mantap ketika menumpaskan Brazil 2-1 di suku akhir, dan Varane percaya, merantai penyerang dan arkitek Red Devils, Romelu Lukaku serta Eden Hazard adalah cara terbaik untuk menewaskan Belgium.

“Kami perlu turun dengan keyakinan tinggi dan buat yang terbaik. Harungi setiap halangan dan lihat sampai mana kami mampu pergi.

“Fizikal Lukaku mampu memberi masalah dan kami tidak boleh membenarkannya memiliki ruang kerana dia pemain berkualiti.

“Eden pula, mempunyai kualiti tinggi serta bijak menggelecek.

“Kami juga tidak boleh memberinya ruang, jadi kami perlu berusaha secara kolektif ,” katanya lagi. – REUTERS