Ahli FIFA yang seramai 209 orang memberikan Blatter, 79, satu lagi penggal untuk memimpin selama empat tahun selepas Puter Ali al-Hussein dari Jordan mengaku tewas selepas kalah 133-73 dalam pengundian pusingan pertama.

Janji Putera Ali untuk membersih­kan FIFA daripada sejarah hitamnya ditolak meskipun badan itu dilanda skandal paling teruk dalam sejarah 111 tahun penubuhannya.

“Saya sukakan anda, saya sukakan tugas saya. Saya bukannya sempurna, tiada sesiapa yang sempurna, tetapi saya yakin kita akan menjalankan tugas dengan baik bersama-sama,” kata Blatter kepada perwakilan.

Pemilihan itu tetap dilangsungkan semalam walaupun pihak penyiasat AS dan Switzerland me­nyerbu tunjang ‘keluarga bola sepak’ Blatter minggu lalu. Dua naib presiden FIFA dan seorang ahli jawatankuasa eksekutif FIFA yang baru dipilih masih dalam tahanan ketika undi dikira.

Begitu pun, pemimpin-pe­mimpin bola sepak di seluruh dunia kekal menyokong presiden mereka selama 17 tahun itu, walaupun Putera Ali berjaya mengheret pemilihan ke pusi­ngan kedua selepas mencipta kejutan apabila mendapat 73 undi.

Sebelum pu­singan kedua bermula, Putera Ali berdiri di hadapan ahli kongres dan mengaku kalah.

“Saya berterima kasih kepada anda semua kerana berani menyokong saya. Ini adalah perjalanan yang hebat, dari segi mengenali anda, bekerja bersama anda,” katanya.

Blatter telah menyalahkan yang lain kerana membawa malu kepada bola sepak. Dalam ucapannya sebelum pemilihan semalam, Blatter berkata adalah mustahil untuk dia dan FIFA memantau setiap orang dan bertanggungjawab terhadap semua yang berlaku dalam bola sepak dunia.

Blatter menang walaupun terdapat desakan supaya dia berundur daripada Presiden Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini dan beberapa lagi. Platini pada Khamis lalu berkata bahawa UEFA mungkin keluar daripada FIFA dan menarik diri daripada Piala Dunia jika Blatter dipilih semula.

Penaja-penaja besar FIFA juga telah mendesak dilakukan perubahan dalam FIFA.

Dalam kata-katanya, yang lebih berupa amaran kepada UEFA, Blatter menegaskan akan merombak perwakilan dalam jawatankuasa eksekutifnya yang begitu berpe­ngaruh, yang mana Eropah memiliki lapan ahli daripada 25 yang boleh mengundi.

Platini hanya duduk diam dan tidak bertepuk tangan ketika Blatter memberikan ucapan selepas kemenangannya.

Blatter juga berkata dia akan mengekalkan pusingan akhir Piala Dunia untuk 32 pasukan dan menolak untuk memperbesarkan kejohanan yang merupakan lubuk duit FIFA itu.

Penyiasatan terbaharu menjanjikan masalah lebih besar kepada FIFA.

Serbuan ke atas sebuah hotel mewah yang menjadi kegemaran FIFA di Zurich dan ibu pejabatnya sendiri telah dilakukan pada awal Rabu lalu oleh polis Switzerland.

Pegawai kanan FIFA antara tujuh lelaki yang ditangkap atas permintaan pihak penyiasat AS, berkaitan rasuah.

Piala Dunia 2018 dan 2022 yang diberikan kepada Rusia dan Qatar adalah fokus kepada penyiasatan berasingan yang dijalankan oleh polis Switzerland, berkaitan penyelewangan wang. – AGENSI