Orang kepercayaan Blatter, Klaus Stoehlker berkata, keputusan bagi mengenakan hukuman penggantungan sementara terhadap Presiden FIFA itu dijangka diputuskan hari ini oleh Hakim, Hans-Joachim Eckert

“Tiada keputusan muktamad dibuat, ia cuma cadangan daripada pihak bawahan Jawatankuasa Etika kepada pihak atasan. Presiden Blatter akan berada di pejabatnya di FIFA, esok (hari ini),” kata Stoehlker yang menambah, Blatter telahpun dimaklumkan tentang perkembangan tersebut.

Kod etika FIFA menyediakan seorang wakil dari Dewan Penyiasatan bagi meneliti kes tersebut dan membuat permohonan kepada Eckert agar tindakan diambil.

Sementara itu, Stoehlker berkata, Blatter, 79, sangat tenang biarpun keputusan penggantungan itu bakal memalukannya setelah selama 40 tahun bersama FIFA.

Walaupun selepas penangkapan dilakukan ke atas pegawai-pegawai FIFA pada Mei lalu, yang menjerumuskan organisasi tersebut dalam krisis, Blatter berjanji akan mengetuai proses pembaharuan dalam kepimpinan badan induk itu sebelum melepaskan jawatannya pada Februari tahun depan.

Jika Eckert memilih untuk melaksanakan hukuman penggantungan, maka badan induk tersebut bakal berdepan masalah ekoran ketiadaan dua pemimpin tertinggi.

Setiausaha Agung, Jerome Valcke, yang merupakan orang kanan Blatter sejak lapan tahun lalu, telah digantung selama lapan bulan selepas didakwa terbabit dalam skim menjual tiket Piala Dunia 2014 pada harga yang tinggi. Valcke bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

Kenyataan Stoehlker itu tidak dapat disahkan FIFA dan bahagian media FIFA telah bertanya kepada peguam Blatter yang memberitahu, dia tidak dimaklumkan tentang sebarang keputusan yang akan dibuat.

“Presiden Blatter tidak dimaklumkan tentang sebarang tindakan yang diambil oleh Jawatankuasa Etika FIFA.

“Kami menjangkakan Jawatankuasa Etika mahu mendengar pandangan daripada Presiden dan peguamnya, bagi mengemukakan bukti secara menyeluruh, sebelum membuat sebarang cadangan agar tindakan disiplin diambil,” kata kenyataan bersama daripada peguam Blatter di Switzerland, Lorenz Erni dan di Amerika Syarikat, Richard Cullen. – REUTERS