Malaysia sudah di ambang seri 1-1 ketika permainan tinggal empat minit untuk ditamatkan, namun Norshahrul yang mesra disapa Mat Yo meledak gol kemenangan menerusi kuisan pada minit ke-86, sebelum menanduk jaringan ketiga Malaysia di waktu kecederaan.

Harimau Malaya berhak memenangi aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil biarpun dikejutkan seawal minit ketujuh merusi sepakan bebas Phithack Kongmathilath.

Anak-anak buah Tan Cheong Hoe menguasai sebahagian besar permainan, melakukan banyak percubaan ke gawang lawan sepanjang 90 minit.

Tersentak dengan gol awal Laos, Malaysia menggandakan serangan dan ketua pasukan, Zaquan Adha Abd. Razak akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-16 selepas menerima hantaran lintang Syahmi Safari.

Ketiadaan Mohamadou Sumareh yang diketepikan pada saat akhir akibat kecederaan hamstring ketika latihan semalam dirasai skuad kebangsaan dalam 45 minit pertama.

Begitupun memasuki babak kedua, Malaysia menunjukkan aksi lebih baik, terutama selepas Cheng Hoe memasukkan Akhyar Rashid.

Malaysia mempamer permainan lebih agresif dan dihidangkan peluang terbaik untuk menggandakan jaringan pada minit ke-64 namun rembatan Norshahrul ditumbuk keluar penjaga gol Laos, Saymanolinh Praseuth.

Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut buat Malaysia selepas mengalahkan Kemboja 1-0 minggu lalu, sekali gus mencerahkan peluang ke separuh akhir.

Kemenangan itu mengurangkan tekanan sebelum berdepan saingan lebih sukar menentang pasukan No. 1 Asia Tenggara, ­Vietnam di Hanoi, Jumaat ini.

Malaysia, juara 2010 kemudian berdepan Myanmar di Bukit Jalil pada 24 November.