Badan induk bola sepak dunia itu memberikan amaran terhadap RFEF, Disember lalu bahawa mereka boleh digantung daripada beraksi di Rusia 2018 kerana campur tangan kerajaan.

Isu tersebut dibangkitkan selepas Presiden RFEF, Angel Maria Villar dipaksa meletakkan jawatan yang telah disandangnya sejak 1988, tahun lalu, berikutan penangkapannya berhubung siasatan rasuah.

Dia ditahan pada Julai tahun lepas setelah didakwa terbabit dalam satu konspirasi haram, menggelapkan wang dan memalsukan dokumen. Villar ditahan selama dua minggu sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Bagaimanapun, Majlis Sukan Sepanyol (CSD) menegaskan, bahawa satu pemilihan baharu akan dibuat bagi melantik presiden RFEF, yang secara tidak langsung telah menarik perhatian FIFA berhubung campur tangan politik.

Semalam, Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura bertemu dengan Menteri Sukan Sepanyol, Inigo Mendez de Vigo di Madrid, bersama-sama dengan Presiden CSD, Jose Ramon Lete dan ketua sementara RFEF, Juan Luis Larrea.

“Kedua-dua delegasi telah bersetuju tentang perlunya untuk mendapatkan penjelasan secepat mungkin dan di sisi undang-undang RFEF kini berada dalam situasi luar biasa,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, Budaya dan Sukan yang turut menambah, rundingan itu dilaksanakan dalam suasana kerjasama penuh.

Larrea, seorang lagi tokoh yang berada dalam pengurusan bola sepak berkata, dia yakin tiada bahaya yang bakal menjejaskan penyertaan Sepanyol pada Piala Dunia, tahun ini. - AFP