Kemenangan itu juga mengingatkan para peminat ketika dia dijulang sebagai 'super sub' selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Manchester United menewaskan Bayern Munich pada tahun 1999 dalam Liga Juara-Juara.

Seperti perlawanan United menentang Munich pada 1999, Cardiff di bawah kendalian Solksjaer berjaya mencatatkan kemenangan pertama, Sabtu lalu walaupun ketinggalan 0-1.

Solksjaer mengambil keputusan memasukkan dua pemain gantian dari Norway untuk mengubah rentak perlawanan sama seperti tindakan bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson memasukkannya dan Teddy Sheringham ketika menentang Bayern.

Kemasukan dua pemain gantian, Fraizer Campbell dan Craig Noone pada pertengahan babak kedua berjaya mengubah jaringan awal Papiss Cisse.

"Saya tahu nilai pemain gantian yang baik, kamu ada 90 minit dan boleh menggunakan 14 pemain dan kamu mahu pemain yang boleh memberikan impak besar.

"Saya merupakan sebahagian daripada pasukan yang hebat dan sentiasa memberikan yang terbaik apabila berpeluang, jadi itu mesej yang saya sampaikan kepada pemain masuk ke padang dan berikan impak. Kamu ada setengah jam untuk beraksi," katanya.

Solksjaer nyata gembira dengan kemasukan Noone dan Campbell yang berjaya memberikan impak yang besar bagi memastikan kejayaan pasukan.

"Tandukan Campbell dan jaringan Craig Noone sangat hebat," katanya.

Newcastle mengawal sepenuhnya permainan sehingga minit ke-62 apabila Cisse berjaya meletakkan pasukan itu di hadapan sebelum pemain gantian Noone menyamakan kedudukan seminit selepas dimasukkan.

"Kami bermain dengan baik untuk 20 minit pertama sebelum Newcastle mengawal permainan sehingga mereka menjaringkan gol dan bukan sesuatu yang mudah bermain di Newcastle terutamanya apabila ketinggalan 1-0.

"Ia merupakan sesuatu yang sangat baik apabila kita berjaya mengubah corak permainan. Mereka berhak untuk menang kerana mereka melakukannya sendiri. Bukan kerana saya, tetapi ia merupakan permulaan yang baik," ujarnya.

Solksjaer memberitahu, pasukan itu memiliki asas yang kukuh dari segi pemain-pemain berbakat tetapi memerlukan beberapa pemain baharu untuk menjadikannya lebih mantap.

"Musim ini sangat mencabar dan saya melihat pasukan ini memiliki para pemain berkualiti tetapi memerlukan sedikit penambahan.

"Saya sedang berfikir untuk meminta pemilik pasukan ini untuk mendapatkan beberapa pemain tempatan - Ryan Giggs, Aaron Ramsey,

Gareth Bale. Mungkin mereka adalah sasaran," katanya sambil berseloroh. - AFP