Kerjasama selama tiga tahun ini bertujuan untuk meningkatkan mutu dan kualiti liga bola sepak tanah air. 

Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, antara intipati utama kerjasama ini adalah pelaksanaan Pelan Pembangunan 50 Tahun untuk Liga Malaysia.

“Intipati pelan ini disusun oleh La Liga sendiri berdasarkan apa yang mereka rasakan sesuai untuk liga tempatan negara ini. 

“Pelaksanaan blueprint ini bertujuan untuk meningkatkan mutu bola sepak tanah air ke tahap yang lebih profesional pada masa depan,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Thistle di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam; Pengarah Urusan La Liga Rantau Asia Tenggara, Australia, Jepun dan Korea Selatan, Ivan Codina dan Pengarah Pembangunan Antarabangsa La Liga, Oscar Mayo Pardo.

Tunku Ismail yang Tunku Mahkota Johor berkata, inisiatif ber­kenaan merupakan antara perancangan baharu yang dirangka pihaknya. 

“Blueprint 50 tahun ini usaha ikhlas saya untuk memajukan bola sepak tanah air kerana saya tidak akan memegang jawatan ini selamanya.

“Individu yang akan meme­gang jawatan ini kelak akan dibantu blueprint yang disediakan La Liga untuk terus meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya.

Sementara itu, Kevin optimis kerjasama itu dapat menghasilkan impak positif dalam sukan bola sepak negara kerana Malaysia merupakan negara pertama di rantau ini yang menjalin kerjasama dengan La Liga. 

“Kami yakin bola sepak Malaysia berada pada hala tuju yang baik dengan adanya kerjasama melibatkan liga tempatan dan La Liga,” katanya.