Hakikat ini memang tidak dapat disangkal lagi dan bakal lebih ketara dirasai apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam merebut Piala FA 2016 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Tidak hairanlah mengapa PKNS merelakan peruntukan 30,000 tiket buat penyokongnya dikurangkan kepada cuma 10,000 tiket lalu selebihnya diserahkan kepada JDT yang pastinya mahu lebih ‘menggamatkan’ stadium itu dengan sorakan dan nyanyian, Ayuh Johor!

Sekali pun PKNS ialah sebuah kelab bola sepak (FC) yang bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan bermain di tempat sendiri secara geografinya, masih terlalu berat rasanya untuk penyokong pasukan negeri itu ‘berpaling tadah’ seketika kepada ‘adik’ skuad Merah Kuning.

Kebanyakan penyokong tegar Red Giants tetap setia dengan skuad Zainal Abidin Hassan walaupun prestasi semasa mereka dalam Liga Super dan Piala AFC mahupun Piala FA jauh meleset daripada yang diharap-harapkan sejak awal musim.

Mereka tidak mungkin beralih arah kepada PKNS selain menganggap kemaraan The Red Ants ke perlawanan akhir itu tetap dipengaruhi unsur tuah format pertandingan kalah mati dan potensi berlakunya kejutan terhadap pasukan gergasi untuk ditumbangkan.

Sejarah turut membuktikan bagaimana bekas kelab Selangor, MPPJ (Majlis Perbandaran Petaling Jaya) FC yang menewaskan Sabah 3-0 untuk menjulang Piala Malaysia 2003 pun tidak mampu menghimpunkan penyokong seramai hampir 40,000 peminat ‘Si Badak’ di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

JDT atau asalnya Johor FC juga mungkin senasib PKNS dan MPPJ sekiranya pasukan negeri Johor sebenar yang ketika ini dinamakan JDT II (Liga Perdana), turut beraksi malah bayangkan jika mereka pula yang jauh lebih menyinar dalam Liga Super.

Jika hendak dibandingkan segi sejarah kewujudan kelab, ternyata PKNS jauh lebih berpengalaman dan telah berusia 52 tahun malah ramai legenda bola sepak Selangor termasuk ‘Supermokh’ Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari pernah beraksi di sini pada era 1970-an dan 80-an.

Namun tradisi PKNS ini hanyalah berlegar di Piala FAM sebelum format pertandingan dirombak lebih sedekad lalu untuk membolehkan kelab-kelab seumpamanya berentap dengan negeri-negeri dalam Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

Keghairahan warga Johor terhadap Johor FC juga tidak sehebat ketika mereka pernah menjuarai Liga Perdana 2001, Piala FAM 1994 dan 1995 malah layak menyertai Piala AFC 2009 sebelum segala-galanya berubah apabila dijenamakan semula sebagai JDT apatah lagi dengan mencipta sejarah bola sepak Malaysia, menjulang Piala AFC 2015 di Dushanbe, Tajikistan.

Hakikat sentimen kenegerian peminat bola sepak tempatan sebaliknya bakal beransur-ansur diubah oleh sebuah kelab naungan Kuala Lumpur, Felda United yang kini mempunyai gelanggang sendiri, Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang untuk melangsungkan aksi Liga Malaysianya.

Bermodalkan lokasi geografi yang strategik di kawasan peneroka wilayah Felda terbesar negara, Jengka, The Fighters sudah mampu mengumpul sekitar 5,000 penyokong setia daripada kalangan warga penerokanya pada setiap perlawanan musim ini sejak Februari lalu.

Mungkinkah kisah dongeng jadi nyata dengan Leicester City menjuarai Liga Perdana England ‘menjangkiti’ pasukan bukan pilihan, PKNS, Sabtu ini atau menginspirasikan Felda United untuk kekal menerajui Liga Super sehingga Oktober ini, mampu mengubah senario kecenderungan penyokong selepasnya?

Tepuk dada tanya selera.