Dengan pesaing terdekatnya dalam senarai penjaring terbanyak Harry Kane yang mengalami kecederaan dan dijangka berehat untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan sekali gus mele­takkan Salah sebagai pili­han utama untuk meraih ka­sut emas musim ini.

Salah hanya memerlukan empat minit untuk memecah kebuntuan dan jaringan dari sudut sukar selepas menewaskan Miguel Britos juga telah menyebabkan peminat meletakkan dirinya hampir sama dengan Lio­nel Messi.

Pemain berusia 25 tahun itu kemudian meletakkan Liverpool selesa dengan gol kedua menerusi jaringan dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran tepat daripada Andrew Robertson.

Lebih menarik apabila kedua-dua gol itu dijaringkan menggunakan kaki kanan untuk menutup mulut pengkritik yang sebelum ini mendakwa Salah hanya memiliki sentuhan hebat kaki kiri.

Salah kemudian membuat gerakan dari sebelah kanan dan hantaran lintangnya disambar dengan gaya sensasi oleh Roberto Firmino untuk gol ketiga Liverpool tidak lama selepas babak kedua bermula dan bintang Mesir itu menambah dua gol lagi kemudian.

Salah kini memiliki 36 gol musim ini dalam semua pertan­dingan dan menjadi pemain Liverpool pertama menjaringkan gol terbanyak dalam musim pertamanya, mengatasi Fernando Torres yang meledak 32 gol dalam musim sulungnya kira-kira sedekad lalu.

Liverpool kini mengumpul 63 mata daripada 31 perlawanan, dua mata mengatasi Tottenham yang sudah beraksi dalam 30 perlawanan.

Mereka kini memiliki kelebihan tujuh mata ke atas pasukan di tempat kelima Chelsea yang sedang bergelut untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik bagi mengesahkan kedudukan dalam saingan Liga Juara-juara musim hadapan.

“Gol yang dijaringkan kami sangat hebat dan pemain-pemain ini tidak berhenti di situ sebalik­nya terus menyerang.

“Inilah yang seharusnya berlaku dalam bola sepak, jadi saya sangat gembira dengan persembahan mereka.

“Untuk Salah terlibat dalam ke­semua lima gol sangat hebat tetapi untuk dia menjaringkan empat gol adalah luar biasa,” kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.

Salah merupakan pemain pertama Liverpool yang menjaringkan empat gol dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris selepas Luis Suarez melakukannya pada 2013. – AGENSI