Bola sepak menjadi acara pertama dilangsungkan dalam temasya dwitahunan itu, bermula Isnin depan.

Vietnam yang turut mara ke pusingan akhir Kelayakan Kejohanan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 diletakkan dalam kumpulan maut bersama penyandang juara Thailand, Indonesia, Kemboja, Timor Leste dan Filipina.

Walaupun dilihat perlu menempuh laluan berliku pada awal kempen namun jurulatih Vietnam, Nguyen Huu Thang tetap menganggap semua pasukan memiliki peluang yang sama rata.

“Memang kami diletakkan dalam kumpulan yang sukar namun bagi saya semua pasukan ada peluang masing-masing, bukan untuk Vietnam sahaja.

“Saya berasa gembira kerana dapat hadir dengan pasukan yang lengkap dengan himpunan pemain yang diingini kerana mereka semua bebas daripada masalah kecederaan,” katanya kepada pemberita sebaik sahaja tiba dari Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Menyentuh mengenai persiapan pasukan, bekas pemain Vietnam era 1990-an itu berkata tiada apa pun yang istimewa sebaliknya mereka cuma melakukan latihan sama seperti pasukan lain.