Katanya, bermain bersama sebuah pasukan yang bagus seperti Spurs yang unggul di peringkat kumpulan bukan mudah, kecuali semangat melawan seperti itu sahaja yang mampu menjinakkan mereka di Wembley sekali gus mara menerusi agregat 4-3.

“Kami tidak berada di posisi yang baik selepas seri 2-2 (pada aksi pertama lalu) di laman sendiri. Kami perlu menjaringkan gol di sini dan ia berjaya dilakukan. Kami sedar sedang berdepan pa­sukan yang betul-betul bagus dan mempunyai pemain yang hebat.

“Jadi ia sebenarnya satu cabaran buat kami. Ia membuatkan kami bermain dengan sepenuh hati bersama dengan semangat pahlawan dan itu yang menjadikan ianya berbeza kali ini,” tegas Matuidi yang tidak ber­aksi pada aksi pertama.

Kemenangan itu membolehkan Juventus mara ke suku akhir dan menamatkan badi kekalahan kepada kelab Inggeris yang sering menyekat mereka di peringkat kalah mati sebelum ini sama ada di tangan Manchester United, Arsenal, Liverpool atau Chelsea.

Ternyata dua gol yang diperlukan Juventus berjaya direa­lisasikan menerusi jaringan dalam tempoh tidak sampai tiga minit oleh Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala pada minit ke-64 dan 
ke-67 untuk menafikan gol pendahuluan Spurs yang dijaringkan Son Heung-min di babak pertama.

Ini membolehkan Juventus melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 21 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini - terima kasih kepada gandingan mantap empat pemain pertahanan mereka yang dibarisi Andrea Barzagli, Giorgio Chiellini, Medhi Benatia dan Alex Sandro yang berdiri teguh mengatasi asakan lawan.

Sementara itu pengurus Spurs, Mauricio Pochettino menganggap hanya dua kesilapan besar sahaja telah mengecewakan pasukan­nya walaupun secara keseluruhan bangga dengan persembahan dan penguasaan yang ditunjukkan pemain.

“Kami tidak perlu malu kalah kepada pasukan yang lebih berpengalaman di peringkat Eropah. Ini bukan kerana kekuatan mental kami kurang tetapi inilah bola sepak. Dari segi penguasaan kami lebih baik tetapi akhirnya akan ada pasukan yang menang dan ada yang kalah.

“Bukan kami tiada langsung peluang menjaringkan gol tetapi hanya satu gol berjaya dijaringkan. Lawan kami dapat dua peluang terus jaring dua gol. Kadang-kadang kita perlu bantuan sedikit nasib untuk menang,” tegas Pochettino yang gagal membawa Spurs layak ke suku akhir buat kali pertama sejak 2011. – AFP