Jaringan minit terakhir Nico Schulz mengetuai kebangkitan anak-anak buah Joachim Loew, yang masih dibayangi penyingkiran di peringkat kumpulan dalam Piala Dunia tahun lalu.

Ini kemenangan pertama skuad Die Mannschaft dalam saingan kompetitif sejak me­ngalahkan Sweden 2-0 dalam peringkat kumpulan Piala Dunia, 24 Jun tahun lalu.

Kesungguhan mereka untuk bangkit terserlah apabila mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi Leroy Sane dan Serge Gnabry.

Begitupun, Belanda yang sudah sekian lama tidak merasai pentas besar selepas gagal layak ke Piala Dunia 2018 dan Euro 2016 menjadikan drama di Johan Cruyff Arena semakin menarik apabila Matthijs de Ligt dan Memphis Depay berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada babak kedua.

Begitupun, ketika permai­nan hampir berkesudahan seri dan menunggu wisel penamat ditiupkan, Schulz melepaskan rembatan dalam kawasan pe­nalti untuk memastikan kemenangan berharga Jerman pada saingan Kumpulan C.

“Persembahan babak pertama hebat, kami mengawal penuh permainan.

“Begitupun gol yang kami lepaskan pada separuh masa kedua tiba pada waktu yang amat buruk.

“Ia adalah proses buat pemain-pemain muda kami. Pa­sukan tidak hilang kepercayaan dan hari ini kami bernasib baik,” kata Loew.

Bagi pemain tengah Hoffenheim, Schulz kemenangan amat penting buat pasukan dan menaikkan keyakinan mereka bagi menghadapi sai­ngan seterusnya. – AFP