Mat Sport
Mat Sport 

Mat dengar pelbagai masalah dikesan bermula daripada kerosakan pada bangunan, kekura­ngan peralatan, makanan dan macam-macam lagi.

Maka ada yang mula menuduh berlaku ketirisan, orang ini tidak buat kerja, orang ini salah, maklumat tidak disampaikan dan macam-macam lagi.

Kebiasaannya, masalah bagi projek-projek besar seperti AMD ini hanya dapat dikesan selepas diserahkan kepada end user, dalam isu ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia tidak bermakna kerosakan itu terlalu teruk sehingga menyebabkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) terpaksa dihentikan.

Bagi Mat, masalah seperti ini boleh diselesaikan sekiranya semua pihak termasuk KBS, Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan kotraktor masing-masing memainkan tanggungjawab mereka.

Pertama sekali, masalah kerosakan infrstruktur, ia boleh diselesaikan dengan hanya meminta MMN Bina Sdn. Bhd. iaitu kontraktor yang bertanggungjawab untuk memperbaikinya mengikut kehendak KBS kerana semunya masih di bawah Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP). Mereka ada tempoh dua tahun untuk menyelesaikan perkara ini.

Dalam isu kekurangan makanan pula, KBS boleh merujuk perkara itu kepada MSN kerana mereka merupakan badan yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah itu, kalau tidak cukup, cari dana tambahan untuk atasi perkara itu.

Sebelum ini, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ada menyatakan, semasa beliau sudah mengarahkan ISN untuk membuka tender bagi peralatan gimnasium selepas melepaskan jawatan. Semak semula, kalau belum dibuka, segerakan kalau sudah dibuat, semak semula dengan pembekal peralatan.

Bagi Mat, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan dan paling penting setiap maklumat perlu disalurkan segera kepada badan bertanggungjawab kerana sekarang ini bukan masa untuk cari salah siapa.

Lebih baik fikirkan masa depan anak-anak yang berada di dalam program NFDP ini kerana mereka ini merupakan generasi yang akan mewarnai dunia sukan negara pada masa akan datang.

Pelatih-pelatih di AMD ini merupakan tunjang kepada pembangunan bola sepak negara, jadi jangan kerana perkara-perkara seperti itu membuatkan program itu terpaksa dihentikan dan sekali gus melenyapkan impian anak-anak di dalam NFDP.

Apa pun, selepas selesai semua masalah, kalau benar ada ketirisan, laporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. Pada pandangan Mat, ketika ini, selesaikan dulu masalah yang ada bagi membolehkan NFDP ini diteruskan.