Kecemerlangan di Brazil juga membolehkan penjaga gol itu mencuri tumpuan beberapa gergasi bola sepak Eropah, sebelum akhirnya menyertai Real Madrid.

Sebagai menghargai prestasi hebat yang dipamerkan pada Piala Dunia, Navas diberi penghormatan apabila kerajaan negaranya bersetuju menamakan stadium majlis perbandaran di bandar kelahirannya, Perez Zeledon menggunakan namanya iaitu Estadio Municipal Keylor Navas Gamboa.

Sewaktu berusia antara 12 dan 14 tahun, ketika dia menjalani latihan di akademi bola sepak Escuela de Futbol Pedregoso, Navas mencuba nasibnya di Kelab Majlis Perbandaran Perez Zeledon.

Kelab tersebut pernah diwakili bapanya dan sebab itu ia amat bermakna buat Navas, malangnya percubaannya gagal selepas dikatakan memiliki tubuh terlalu kecil.

Ia satu tamparan buat Navas ketika itu, namun kegigihan, kesabaran dan kehebatan yang ditunjukkan akhirnya menyaksikan namanya diabadikan di stadium milik pasukan yang pernah menolaknya.

Bagaimanapun disebabkan undang-undang Costa Rica hanya membenarkan nama individu yang sudah mati diabadikan di sesebuah bangunan menyebabkan stadium itu terpaksa mengekalkan nama asalnya.

Begitupun, sehingga hari ini, Kelab Majlis Perbandaran Perez Zeledon masih diselubungi kekesalan kerana pernah menolak pemain yang pada akhirnya muncul ikon bola sepak di Costa Rica.

Bakat Navas dicungkil Juan de Dios Madriz iaitu pengasas Escuela de Futbol Pedregoso, dan selepas berbincang dengan ibunya, Sandra bersetuju membenarkan anaknya pergi menyertai latihan bola sepak di situ.

Tidak lama kemudian, ibu bapa Navas terpaksa berpindah ke Amerika Syarikat bagi mencari pekerjaan dan dia dibesarkan oleh datuknya, Juan di Costa Rica.

Selepas dikecewakan Kelab Majlis Perbandaran Perez Zeledon dan kemudian menyertai Escuela de Futbol Pedregoso, bakat Navas semakin berkembang bagi membolehkannya diterima oleh Deportivo Saprissa dan dari situ dia membuka mata Albacete, Levante, seterusnya Real.

Navas menerima kerakyatan Sepanyol pada Disember 2014. Dia berkahwin dengan Andrea Salas pada 2009 dan dikurniakan anak perempuan, Daniela Navas Salas dan seorang anak lelaki, Mateo Navas Salas.

Navas sekali lagi menggalas cabaran Costa Rica dalam Piala Dunia 2018 di Rusia, begitupun negaranya gagal mengulangi kecemerlangan empat tahun lalu apabila kandas dalam saingan Kumpulan E ekoran kekalahan 0-1 kepada Serbia, 0-2 di tangan Brazil dan seri 2-2 dengan Switzerland.