Skuad bimbingan Mehmet Durakovic memanfaatkan penguasaan penuh pasukan tuan di babak pertama apabila menjaringkan ketiga-tiga gol sebelum rehat.

Gilmar Jose da Silva meledak gol pembukaan pada minit ke-24, diikuti jaringan Kenny Pallraj minit ke-35 dan sekali lagi menerusi Gilmar di minit ke-45.

Perlawanan dicemari dengan layangan kad merah kepada pemain Selangor, William Silva Costa yang menerima kad kuning kedua pada minit ke-84 selepas membentes ketua pasukan Nasir Basharuddin.

Lain pula kisah di Stadium Hang Jebat, tuan rumah Melaka United berjaya mengubati kekecewaan pada perlawanan terakhir dengan mengatasi PKNP FC 2-0, dengan kedua-dua gol tersebut disumbangkan oleh penyerang dari Belarus, Yahor Zubovich pada minit ke-14 dan 86.

Melaka terdahulu, turun dengan kedukaan selepas tewas 0-3 kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim pada 24 Februari lalu.- UTUSAN ONLINE