Selepas mendahului 1-0 menerusi Rafael Ramzotti seawal minit ke-18, PKNS berada di ambang kekalahan selepas Selangor bangkit di hujung permainan dengan menyamakan kedudukan menerusi Rufino Segovia pada minit ke-89, diikuti jaringan D. Kugan, seminit sebelum tamat perlawanan.

Begitupun, sikap tidak berputus asa PKNS, menyaksikan Ramzotti meledak gol penyamaan tuan rumah, dua minit memasuki waktu kecederaan, sekali gus memusnahkan harapan Red Giants untuk melakar kemenangan sensasi.

Keputusan seri menyaksikan Selangor kekal di tangga kelapan liga dengan 18 mata, manakala PKNS yang tewas 1-2 kepada Red Giants dalam pertemuan terakhir mereka, Rabu lalu berada di tangga keenam dengan 20 mata.

Kedua-dua pasukan bakal berentap lagi dalam dua perlawanan timbal balik separuh akhir Piala FA pada 23 dan 30 Jun ini. - UTUSAN ONLINE