Kata Sathianathan, ketiadaan tiga tonggak import iaitu Endrick dos Santos, Rufino Segovia dan Taylor Regan yang tidak dapat diturunkan akibat kecederaan turut membuatkan pasukannya pincang apabila berdepan Lang Merah di Stadium Darul Aman.

“Masa yang tidak sesuai untuk bertemu Kedah sebab mereka baru saja kalah dan sudah tentu mereka akan berjuang habis-habisan untuk mencari kemenangan.

“Kedah pasukan yang kuat, mereka ada kuasa dalam liga kita. Bukan mudah nak kalahkan mereka apatah lagi bermain di Alor Star.

“Dengan Selangor hanya boleh turunkan dua import menyebabkan tugas kami semakin sukar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sathianathan berkata, beliau tidak mahu mencari alasan disebabkan masalah yang dihadapi.

“Pemain seperti Fernando Rodriguez, Farhan Roslan mampu mengubah permainan,” katanya lagi.

Selepas 10 perlawanan musim ini, Selangor menghuni tangga ketiga dengan 16 mata, satu mata meninggalkan Kedah. - UTUSAN ONLINE