Ketiga-tiganya termasuk Pulau Pinang kembali berentap demi tiket final Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja (PERR) Ke-77, 2017 yang bermula dengan aksi separuh akhir pertama di Sabak Bernam dan Serdang, Selangor esok.

Selangor, juara 1997, akan melayani kunjungan Pulau Pinang yang turut pernah menjulang trofi itu pada 2002 di Stadium Sungai Besar sementara Kuala Lumpur menanti tentangan Kelantan di Stadium Universiti Putra Malaysia, kedua-duanya mulai 4.45 petang.

“Kami bukan sahaja membawa misi mesti menang di Sabak Bernam bahkan perlu membawa bekalan gol yang selesa apabila bertandang ke Stadium USM, Pulau Pinang bagi separuh akhir kedua, Ahad depan,” kata jurulatih Selangor, Azhar Mohd. Shariff.

Barisan bimbingan bekas penyerang Malaysia era 80-an ini terdahulu melepasi suku akhir dengan menewaskan Perlis secara agregat 3-1 selain menjuarai Kumpulan B sementara Pulau Pinang, naib juara Kumpulan D mengatasi Putrajaya 3-1.

“Piala Emas Raja-raja kali ini berbeza malah tampak lebih berdaya saing apabila tiada lagi pasukan yang boleh menggunakan khidmat pemain Liga Super atau Perdana setelah syarat pertandingannya diubah.

“Dengan mewajibkan penyertaan pemain bawah 21 tahun, peluang semua pasukan juga kini seimbang 50-50 justeru kami tidak akan sesekali memandang mudah tentangan Kelantan,” kata pengurus pasukan Kuala Lumpur, Datuk Tarmizi Mohd. Zin.

Kata pengurus Kelantan, Nudin Awang, “kami memiliki ramai tonggak pasukan Liga FAM, MPKB-U Bes dan dilatih Kamaruddin Mohd yang mungkin membawa sedikit kelebihan. Tahun lalu kami disekat Kuala Lumpur dalam suku akhir jadi kami perlu menebusnya.”

Turut hadir dalam sidang akhbar praperlawanan separuh akhir di Wisma FAM, Kelana Jaya itu ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd. Firdaus Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan PERR.

“Piala Emas Raja-raja masih relevan kerana bintang Liga Super era sekarang pernah mencipta nama daripada saingan antara tertua di negara ini seperti Khairul Azhan Khalid, Hafiz Kamal dan Nasir Basharuddin.

“Venue perlawanan akhirnya pada bulan depan, bakal ditentukan antara dua finalisnya dan kami mahu memilih pasukan mana yang mampu menarik kehadiran penonton ke stadium seperti mana Perlis menentang Negeri Sembilan di Kangar yang disaksikan 20,000 orang,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Jadual Piala Emas Raja-raja 2017

Separuh akhir pertama (Esok)

Selangor lawan Pulau Pinang

(Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam, 4.45 petang)

Kuala Lumpur lawan Kelantan

(Stadium UPM, Serdang, 4.45 petang)

Separuh akhir kedua

28 Oktober

Kelantan lawan Kuala Lumpur

(Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 8.45 malam)

29 Oktober

Pulau Pinang lawan Selangor

(Stadium USM, Pulau Pinang, 4.30 petang)