Rentak kemenangan tuan rumah dimulakan pada minit ke-32 hasil penyudah Lee Andrew Tuck, disusuli jaringan Shahrul Aizad Zulkufli 26 minit kemudian sebelum kapten skuad Penyu, Tchetche Kipre melebarkan jurang gol (m-65).

Pendatang baharu Liga Super itu bagaimanapun masih belum puas, dan mereka menambah gol apabila penyerang dari England, Tuck melepaskan rembatan dari tengah padang untuk gol keempat.

Red Giants sekurang-kurang­nya tidak pulang dengan tangan kosong apabila penyerangnya Amri Yahyah menjaringkan gol sagu hati seminit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Sementara itu, saingan melibatkan Kuala Lumpur dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa ditunda ekoran hujan lebat yang melanda Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Perlawanan tersebut akan di­sambung pada pukulan 4 petang esok, bermula pada minit ke-56 dengan kedudukan Kuala Lumpur mendahului 1-0 menerusi ledakan penyerang dari Brazil, Paulo Josue.

Di Stadium Darul Makmur, Tok Gajah memperoleh kemenangan pertama apabila menewaskan Kelantan 3-0 dengan gol pertama skuad itu dijaringkan penyerang import baharu Forkey Doe seawal minit ke-13.

Gol kedua Tok Gajah muncul pada minit ke-55 menerusi jari­ngan Mohamadou Sumareh sebelum Nor Azam Azih melengkapkan kemenangan selesa Pahang, dua minit sebelum permainan tamat.

Aksi di Stadium Perak menyaksikan Rafael Ramazotti muncul wira setelah menyumbat dua gol untuk membantu PKNS mengatasi tuan rumah, Perak, sekali gus membolehkan Red Ants selesa menduduki carta teratas Liga Super.