Robben menjaringkan kedua-dua gol tersebut bagaimanapun Belanda gagal mara ke pusingan akhir Piala Dunia di Rusia kerana Oranje perlu melakar kemenangan besar ke atas Sweden untuk mendapatkan tempat di saingan play-off. Robben kelihatan menitiskan air mata sebelum dan selepas perlawanan.

“Masa terbaik untuk saya memberi laluan kepada generasi seterusnya. Malam yang penuh emosi. Saya tahu sebelum perlawanan ini merupakan aksi yang terakhir untuk saya dan ia bukan mudah.

“Pada masa sama, saya juga mahu menikmati perlawanan ini namun saya perlu fokus kerana saya mahu mengucapkan selamat tinggal dalam keadaan terbaik. Saya gembira saya dapat mempamerkan aksi terbaik dengan menjaringkan dua gol dan kami menang. Itu sahaja yang kami mampu lakukan,” kata Robben.

Dalam pada itu, bintang Bayern Munich menyedari Belanda akan gagal ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 2002 sebelum perlawanan berlangsung.

“Kami tahu dan mustahil untuk kami ke Rusia. Jadi, kami perlu menamatkan kempen dengan baik dan bermaruah dan itulah yang kami lakukan. Kami pasukan yang baik cuma tidak bernasib baik. Jika kami hanya perlu menang sahaja tidak jadi masalah namun situasi berbeza,” katanya pemain berusia 33 tahun itu lagi.

Robben merupakan watak utama Belanda ketika mereka muncul naib juara Piala Dunia 2010 sebelum memenangi tempat ketiga di Brazil tiga tahun lalu. Pemain itu pasti diingati di atas kegagalannya menjaringkan gol dalam aksi final menentang Sepanyol di Afrika Selatan.

Penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas berjaya menyelamatkan percubaan Robben sebelum Sepanyol muncul juara pada 2010 selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 pada masa tambahan.

“Perjalanan yang cukup panjang, 14 tahun. Memori pertama saya bersama Belanda adalah menentang Sweden pada 2004 dan saya sangat muda pada waktu itu. Saya mengambil sepakan penalti pada 2004, dalam kejohanan pertama saya.

“Saya bermain enam kejohanan utama, tiga Euro dan tiga Piala Dunia dan kenangan paling manis Piala Dunia saya pastinya pada 2010 dan 2014. Kami negara yang kecil namun kami berjaya muncul naib juara dan menang tempat ketiga. Kami amat berbangga dengan kejayaan tersebut,” katanya lagi. - AGENSI