BIBI RAMJANI ILIAS KHAN

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, MFL seharusnya bersikap adil berhubung dengan denda terbabit, yang akan memberikan kesan kepada persatuan dan pasukan.

"Sebelum ini kami (Kafa) sudah setuju bayar tuntutan bekas pengarah teknikal Alfredo Gonzales melalui pemotongan geran, dan kenapa masih lagi mahu sekat kami mendapatkan pemain import.

"Kami tidak tahu apa kesalahan baru menyebabkan didenda, sudah banyak kami dikenakan antara hukuman sekat lesen, sekat geran dan pemotongan mata, selepas ini berapa banyak hukuman lagi kami tidak tahu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam MFL mengumumkan tujuh pasukan Liga Malaysia dikenakan tindakan pemotongan 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Dalam masa yang sama, lima daripada tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Bibi Ramjani berkata, denda dan hukuman itu seolah-oleh mahu Kafa terkeluar dari saingan Liga Malaysia (Liga-M).

"Kita persatuan (ahli gabungan) ibarat anak-anak yang bergelut dengan pelbagai masalah, dan tekanan mengadu kepada bapa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL untuk ihsan, tetapi usahkan simpati yang dapat, malah tendang terajang dari bapa yang dapat.

"Kalau bukan MFL atau FAM yang boleh jaga (bantu) kami, siapa lagi yang akan jaga kami untuk kelancaran bola sepak negara," katanya.

Sekatan mendapatkan khidmat pemain import baharu, menyumbang kepada tekanan hebat yang akan dilalui Kelantan berikutan pasukan itu sangat memerlukan khidmat pemain import, ekoran pemain import sebelum ini Raul Tarragona menamatkan kontraknya.

Selepas sembilan perlawanan, Kelantan ketika ini berada ditangga tercorot liga dengan empat mata selepas hanya memperolehi satu kemenangan (dipotong mata), empat seri dan empat kekalahan. - BERNAMA