Belgium perlu menumpaskan Perancis pada separuh akhir Selasa ini (2 pagi Rabu waktu Malaysia) jika mahu melakar satu lagi sejarah mara ke final buat kali pertama.

De Bruyne percaya, kejayaan menumbangkan juara lima kali, Brazil meletakkan skuad Red Devils sebagai pilihan untuk menumpaskan juara 1998, Perancis di Saint Petersburg.

“Kami telah memahat sesuatu yang sangat indah dan sukar di sini. Kami bangga berjaya ke separuh akhir dan telah melakukan segala-galanya untuk memenangi perlawanan dengan Brazil.

“Saya gembira kami berada dalam kedudukan empat terbaik, tetapi apabila anda sudah menghampiri trofi anda patut melakukan apa sahaja untuk membawanya pulang.

“Detik seperti ini mungkin hanya berlaku sekali seumur hidup, jadi anda datang ke Piala Dunia harus bersama misi membawanya pulang ke tanah air,” kata bintang tengah Manchester City itu.

De Bruyne berkata, selepas membantu City muncul juara Liga Perdana Inggeris, dia mahu memastikan 2018 menjadi tahun paling cemerlang dalam kariernya dengan membawa Belgium menjuarai Piala Dunia.

Pemain berusia 27 tahun itu mempamer prestasi cemerlang, termasuk meledak satu gol ketika Belgium mengalahkan Brazil 2-1 pada suku akhir di Kazan, Jumaat lalu.

Mengenai saingan suku akhir, Bruyne berkata, Perancis adalah pasukan yang ‘luar biasa’ setiap kali berjaya menjejakkan kaki ke separuh akhir Piala Dunia.

“Bagaimanapun kami kini setanding Perancis.

“Sekarang, kami hanya perlu menyaingi mereka secara fizikal dan mental kerana pada akhirnya, pasukan yang lebih baik akan menang,” ujarnya lagi. – AGENSI