Lebih mengecewakan Kim Swee, kesilapan pemainnya melepaskan dua gol mudah adalah punca kekalahan besar mereka, begitupun beliau berjanji akan cuba bangkit dalam dua perlawanan berikutnya bagi mencari tiket ke suku akhir.

“Kami kalah kepada pasukan yang lebih bagus dan Iraq seimbang di semua bahagian. Kami cuba memberikan saingan namun kami dibolosi dua gol mudah atas kesilapan sendiri.

“Sudah tentu saya sedih melihat keputusan tewas 1-4 dengan dua gol dilepaskan disebabkan kesilapan pemain saya sendiri. Perkara ini berlaku apabila pemain lambat mendapat keyakinan dan sebaik sahaja mereka percaya kepada diri sendiri, mereka mula memberi saingan. Kami masih boleh bersaing cuma perlu lebih berdisiplin.

“Ini baru satu perlawanan, saya tidak akan mengaku kalah. Saya perlu mengambil perkara positif dan perlu menganalisis semula permainan kami untuk menghadapi lawan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Changshu hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, gol Malaysia dibolosi seawal minit kelima menerusi tandukan Mohammed Khalid Jaffal Al-Jumaili sebelum Amjed Attwan Kadhim meledak gol kedua pada minit ke-28 selepas Syazwan Andik Mohd. Ishak gagal mengeluarkan bola dengan sempurna dari kawasan kotak penalti.

Kealpaan pertahanan Malaysia terus dihukum oleh anak-anak buah Abdul Ghani Shahad apabila Alaa Ali Mhawi menjaringkan gol ketiga pada minit ke-57 sebelum Hussein Al-Saedi meledak gol keempat pada minit ke-81 apabila bijak memanfaat kesilapan yang dilakukan pemain tengah negara, Nor Azam Abdul Azih. Gol saguhati Malaysia diperoleh menerusi Safawi Rasid pada minit ke-79.

Sementara itu, jurulatih Iraq, Abdul Ghani mengakui terkejut dengan keputusan yang dicatat kerana menyifatkan Malaysia adalah lawan yang sukar.

“Kebiasaannya perlawanan pertama adalah sukar dan saya tidak nafikan Malaysia pasukan yang bagus bagaimanapun saya terkejut dengan jumlah gol yang dihasilkan pemain saya.

“Saya fikir mungkin disebabkan mereka melakukan kesilapan memberi peluang kepada pemain saya untuk mencipta gol,” katanya.

Malaysia akan menentang Jordan dalam perlawanan kedua pada Sabtu ini, sebelum menentang Arab Saudi, Selasa depan. - UTUSAN ONLINE