Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, pihaknya akan mengemukakan surat rayuan kepada badan penganjur Liga Malaysia itu dalam tempoh terdekat.

"Kelewatan itu bukan disengajakan pihak KLFA, ini disebabkan kami mengalami perubahan pucuk kepimpinan. Ada banyak yang berlaku sejak kebelakangan ini, tetapi KLFA akan berusaha keras memastikan ia berjalan sebaik mungkin," katanya.

MFL pada Isnin mengumumkan tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Felda United, Melaka yang beraksi dalam Liga Super serta Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang (Liga Perdana) dikenakan tindakan ekoran kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan 31 Disember, tahun lepas.

Dan lima daripada tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan yang sama tahun lalu.

Kesemua pasukan tersebut berhak membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari iaitu sehingga 5 petang 29 April ini.

Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak serta Melaka juga diwajibkan menyerahkan dokumen atau pelan kepada MFL menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen menunjukkan semua tunggakan hutang diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman itu dibuat iaitu pada atau sebelum 5 petang 22 Mei ini.

Sekiranya dokumen-dokumen tersebut tidak diserahkan dalam tempoh diberikan, pemotongan tiga mata akan dikenakan kepada pasukan terbabit.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah memberitahu, pihaknya yang berhadapan beberapa masalah domestik, akan menghantar surat rayuan kepada MFL dalam tempoh terdekat.

KAFA yang sebelum ini menyaksikan pemotongan tiga mata di Liga Perdana atas arahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), berusaha mencari jalan penyelesaian, bagi memastikan perjalanan pasukan itu dalam Liga Malaysia berjalan lancar musim ini.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Melaka, Farhan Ibrahim berkata, pihaknya seperti pasukan-pasukan lain juga bersedia menyerahkan surat rayuan kepada MFL, dalam usaha mengurangkan hukuman yang diberikan.

"Kelewatan melengkapkan dokumen pada tarikh akhir disebabkan MFL ketika itu mahukan surat daripada penaja. Disebabkan penaja kami kebanyakan dari GLC (syarikat berkaitan dengan kerajaan), ia ada beberapa siri perbincangan dan pertemuan untuk mendapatkan surat terbabit.

"Itulah sebab mengapa dokumen itu gagal diserahkan pada tarikh akhir, dan sudah pasti Melaka akan menghantar surat rayuan kepada MFL, di mana kami berharap pertimbangan sewajarnya daripada pihak MFL mengenai masalah yang dihadapi Melaka yang tidak disengajakan," katanya.

Pasukan Sarawak dan Pulau Pinang turut mengesahkan mereka akan menyerahkan surat rayuan kepada MFL selepas dikenakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada geran tahunan pada musim ini dan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua.

Sementara, Felda United mengesahkan akan menghantar surat rayuan berserta dokumen yang diperlukan kepada MFL esok. - BERNAMA