Namun, Mourinho tidak begitu berpuas hati dengan suasana pada majlis tersebut, apabila bekas pasukan yang dibimbingnya, Inter Milan yang memenangi kejuaraan treble musim lalu, sepatutnya mempunyai calon dalam tiga pemain untuk anugerah Pemain Terbaik Dunia yang dimenangi Lionel Messi.

"Sudah jelas bagi saya paling penting ialah kejuaraan kolektif, tetapi ini adalah trofi yang bersejarah, bersejarah buat saya, bersejarah buat bola sepak Portugal.

"Saya bangga berbangsa Portugal. Portugal tidak ramai mengharungi saat membanggakan seperti ini dan ini sudah pasti bagus untuk ego orang Portugal.

"Selepas Eusebio, Figo dan Cristiano Ronaldo, kami kini memiliki empat anugerah bola emas,'' katanya.

Anugerah kepada Mourinho adalah hasil daripada undian yang dilakukan oleh FIFA dan majalah Bola Sepak Perancis.

Figo dan Ronaldo masing-masing memenangi anugerah Pemain Terbaik FIFA, juga Eusebio, lama sebelum anugerah FIFA diwujudkan.

Mourinho, yang kini bersama Real Madrid, memenangi Liga Juara-Juara, Serie A dan Piala Itali bersama Inter musim lalu.

Anugerah itu meningkatkan lagi reputasinya sebagai salah seorang jurulatih terbaik dunia, selepas memenangi kejuaraan Serie A bersama Inter pada 2008/09, dua kejuaraan Liga Perdana England dan satu Piala FA bersama Chelsea dan Liga Juara-Juara, Piala UEFA dan dua juara liga bersama Porto. - Reuters