Spurs tewas 3-4 kepada juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City tetapi tetap ke saingan empat terbaik selepas terikat 4-4 secara agregat dan berkelebihan jaringan di tempat lawan.

City hampir meraih slot ke separuh akhir hasil gerakan menarik Raheem Sterling pada masa kecederaan selepas Eriksen terlepas kawalan bola semasa melakukan serangan namun jaringan City dibatalkan selepas Sergio Aguero didapati berada dalam keadaan ofsaid.

Eriksen yang akan berdepan bekas pasukannya, Ajax di separuh akhir berkata: “Saya adalah lelaki paling bertuah di dunia pada malam ini.

“Saya jangka semua akan tamat tetapi secara keseluruhannya adalah perlawanan yang menarik. Ada turun naik, kami jaringkan gol yang banyak dan bolos banyak. Ini adalah perlawanan pelik.

“Selepas ini kami akan bertenang, ia akan menjadi perlawanan yang menarik menentang Ajax dan kembali ke Arena Johan Cruijff sekali lagi,” katanya.-AGENSI