Persembahan hebat penjaga gol United, David de Gea menafikan usaha Arsenal untuk menang di depan penyokong sendiri di Stadium Emirates.

Kekalahan itu meletakkan Gunners di tangga kelima liga, 15 mata di belakang pendahulu, Manchester City yang me­ngukuhkan kedudukan selepas menumpaskan West Ham 2-1.

Pada ketika pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino awal-awal lagi mengibarkan bendera putih dengan mengakui peluang pasukannya untuk mengejar City adalah mustahil, Wenger enggan berkongsi pandangan dengan jurulatih dari Sepanyol itu.

“Saya bukan Pochettino, saya adalah Arsene Wenger.

“Saya berada di sini untuk berjuang dan akan terus berjuang selagi boleh. Secara matematiknya kami masih mampu mengejar, jadi anda tidak sepatutnya menghantar mesej berputus asa,” tegas jurulatih kelahiran Perancis itu kepada pemberita.

Arsenal melancarkan 33 percubaan ke gawang United, tetapi De Gea cemerlang menyelamatkan 14 serangan berbahaya untuk menafikan hajat Gunners mengutip tiga mata penuh.

Wenger mengakui, dia sukar menerima keputusan tersebut tetapi percaya, kalah dalam selepas berjuang hanya akan membuatkan pemainnya lebih dahagakan kemenangan.

“Saya percaya perlawanan itu membuatkan kami sangat ‘marah’ dan lebih bersema­ngat untuk memburu kemenangan.

“Kalau saya seorang pemain, melihat kepada apa yang kami lakukan dalam perlawanan tersebut dan betapa besar­nya potensi yang kami miliki, kekalahan tidak boleh diterima.

“Pemain saya menunjukkan persembahan berkualiti dan mereka akan bangkit dengan lebih baik,” katanya lagi. – AGENSI