Penyerang Portugal itu meledak gol pembukaan seawal minit kedua, sebelum Karim Benzema menggandakan kedudukan pada minit ke-55 ketika Real me­ngalahkan Malaga 2-0 pada hari terakhir liga hari ini.

Kemenangan di Stadium La Rosaleda membolehkan skuad Los Blancos mengetepikan musuh ketat, Barcelona dengan ke­lebihan tiga mata, biarpun anak-anak buah Luis Enrique itu turut memenangi perlawanan terakhir mereka dengan menumpaskan Eibar 4-2 di Camp Nou.

“Orang selalu bercakap buruk mengenai saya dan saya tidak tahu mengapa mereka jadi begitu.

“Saya tidak menonton te­levisyen kerana kalau saya tonton, maka saya tidak boleh hidup dengan aman. Saya tahu, mereka selalu cakap perkara yang tidak baik mengenai saya, sama ada tentang bola sepak atau hal-hal peribadi.

“Cara mereka bercakap, seolah-olah saya budak jahat,” kata Ronaldo kepada akhbar Sepanyol, Marca.

Minggu lalu, Ronaldo digambarkan seperti pemain mata duitan ketika membantu Real mengalahkan Celta Vigo 4-1 apabila media tempatan melaporkan, penyerang berusia 32 tahun itu dijanjikan habuan tambahan jika meledak gol. Dia menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut.

Ronaldo telah meledak 25 gol daripada 29 penampilan liga musim ini, untuk menghadiahkan Real gelaran La Liga pertama di bawah bimbingan legenda Pe­rancis, Zinedine Zidane.

Kemenangan itu menjadikan Zidane semakin bersemangat untuk memulakan era kebangkitan Real dan memburu le­bih banyak trofi selepas membawa pasukan tersebut muncul juara Eropah kali ke-11 pada musim pertama sebagai pengurus tahun lalu.

Dia, yang pernah membantu Real meraih satu trofi Eropah dan satu gelaran La Liga sepanjang bergelar pemain dari 2001 hingga 2006, berpeluang menambah koleksi kejuaraan jika mengalahkan Juventus dalam final Liga Juara-Juara di Cardiff 3 Jun ini.

“Bagi saya, La Liga adalah liga bola sepak terbaik di dunia dan berjaya memenangi kejuaraan dengan cara begini sesuatu yang menakjubkan. Saya amat gembira.

“Kami mengharungi musim yang sukar dan telah bekerja keras untuk meraih kejayaan ini. Selepas mengharungi 38 perlawanan, akhirnya kami berada di puncak.

“Dia (Ronaldo) sentiasa berada di sana untuk membawa perbezaan dan saya gembira dengan jaringan serta persembahan yang ditunjukkan. Dia sentiasa ada setiap kali kami memerlukannya,” kata Zidane kepada Marca selepas perlawanan.

Zidane berkata, dia akan membenarkan pemainnya bergembira buat seketika, sebelum mengalih­kan tumpuan kepada final Liga Juara-Juara yang bakal menyusul dua minggu dari sekarang. – AGENSI