Dilahirkan pada 15 Jun 1992 di Nagriq, Gharbia, Mesir, Salah menjadi perhatian di negaranya sejak dari kecil lagi. Ramai yang menyifatkan dia sebagai ‘cahaya yang menyinari bola sepak Arab’.

Sekitar tahun 2016, pemain tersebut yang pada ketika itu mewakili AS Roma di Itali, mencuri tumpuan pengguna laman sosial selepas satu gambar me­nunjukkan dia sedang membawa al-Quran sewaktu tiba di salah sebuah lapangan terbang terbesar.

Memetik kapsyen gambar tersebut: “Tabik hormat kepada Mohamed Salah. Walaupun bermain di salah sebuah kelab besar di Itali, AS Roma, al-Quran tetap di bawa bersama.

“Dia seorang pemain bola sepak kelahiran Mesir dan pernah tampil mewakili negaranya pada Piala Dunia Bawah 20 tahun 2011.

“Memang sudah menjadi kebiasaan membaca al-Quran di mana-mana bagi orang Mesir, hatta sebagai pemain bola sepak sekali pun. Walaupun bergelar pemain profesional namun tuntutan agama tidak diabaikan”.

Ketika menetap di Itali, dia pernah memberi bantuan dana 60,000 euro (RM298,322) kepada masyarakat muslim di Florence di wilayah Tuscany. Wang tersebut digunakan untuk membaiki masjid dan pusat Islam di sana.

Penyerang Liverpool itu menamatkan zaman bujang pada 17 Disember 2013 dengan Magi.

Pada hari persandingan mereka, keluarga Salah telah membuat jemputan terbuka kepada seluruh penduduk kampungnya untuk hadir meraikan pasangan tersebut.

Ribuan peminat membanjiri majlis itu yang turut diserikan dengan persembahan penyanyi terkenal Mesir, Hamada Hilal, Abdul Albasit Hamouda dan Sa’ad Al Sughayar.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka kini dikurniakan seorang putri yang diberi nama Makka, yang lahir di Hospital Westminster, Chelsea, London pada Oktober 2014.

Menurut rakan terdekatnya, Salah dan Magi memberi nama Makka lantaran dari nama kota suci yang terdapat di Arab Saudi, Mekah.

Magi juga tidak seperti isteri atau teman wanita pemain bola sepak Eropah yang selalu tampil seksi dan menggoda, isteri Salah itu cantik berhijab. Meski mengenakan hijab, persona Magi sebagai wanita Timur Tengah tetap terpancar.

Bekas pemain Basel itu pernah mencetuskan kontroversi apabila melagakan pipi dengan pengacara wanita sewaktu memenangi anugerah Pemain Terbaik Liga Super Switzerland 2013. Tindakan tersebut mendapat kecaman pe­minat di negaranya.

“Mereka telah merosakkan ke­gembiraan saya. Mereka lupakan kejayaan saya dan lebih tertumpu kepada wanita yang ‘mencium’ saya.

“Mana-mana tempat yang saya pergi di Switzerland, ramai yang memberi pujian, sementara peminat di negara saya, mengkritik,” kata Salah, yang baru-baru ini muncul wira negaranya apabila membawa Mesir melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama selepas 28 tahun.