Pengendali berusia 60 tahun itu mendedahkan keputusan seri 1-1 dengan pasukan pelawat tidak sepatutnya berlaku sekiranya anak didiknya menyempurnakan banyak peluang pada perlawanan berkenaan.

"Kita mempunyai banyak peluang terhidang selepas kita mendapat gol yang pertama, tetapi pemain gagal mengambil peluang itu dan tiada pemain yang mampu membuat penyudah.

"Satu yang saya kurang berpuas hati dalam perlawanan ini, apabila kita mendahului satu gol, pemain mula memperlahankan permainan dan hilang fokus tetapi saya memuji usaha yang ditunjukkan pemain serta kombinasi antara pemain semua menjadi," katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Sehubungan itu, Sathianathan berharap kemasukan pemain import baharu, Ifedayo Olusegun dari Nigeria mampu mengatasi ketumpulan jentera skuad Gergasi Merah yang terlalu mengharapkan penyerang berbisa dari Sepanyol, Rufino Segovia del Burgo.

Selangor terpaksa melupakan khidmat pemenang anugerah kasut emas Liga Super 2018 itu yang dilaporkan mengalami kecederaan kaki yang serius pada bulan Mac lepas dan perlu berehat sekurang-kurangnya empat bulan.

Pada aksi di Shah Alam malam tadi, Selangor terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-30 menerusi Muhammad Syahmi Safari sebelum Melaka berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan pemain import dari Filipina, Patrick Reichelt pada minit ke-59.- BERNAMA