Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abdullah Julaihi mengesahkan, rayuan yang dikemukakan kepada kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menggugurkan hukuman bermain dalam dua perlawanan tanpa penonton bulan lalu ditolak.

Katanya, FAM hanya mempertimbangkan rayuan berkaitan mengurangkan jumlah denda RM80,000 yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 15 September lalu.

"Perlawanan Piala Malaysia 2015 pada Sabtu ini (esok) antara Sarawak dan Perak akan tetap dijalankan sebagai perlawanan tanpa penonton.

"Ini kerana rayuan FAS kepada FAM cuma diterima untuk mengurangkan jumlah denda dan hukuman beraksi tanpa penonton kekal.

"FAS akur de­ngan keputusan itu dengan memastikan segala ketetapan oleh FAM dipatuhi bagi mengelakkan hukuman dan denda lebih berat," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pada 15 September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuaratnya memutuskan hukuman RM80,000 dan bermain dua perlawanan tanpa penonton kepada Sarawak berikutan tindakan liar para penyokongnya yang membakar dan melontar mercun, suar dan bom asap ke kawasan persekitaran padang.

Malah, mereka turut merosakkan kenderaan polis dan memba­ling batu ke bas pasukan pelawat dalam tiga perlawanan berbeza di Kuching.

Bagaimanapun, jawatankuasa berkenaan memutuskan untuk mengguna pakai ‘Artikel 35’ Kod Disiplin FAM 2015 yang mana FAS hanya dikenakan hukuman bermain tanpa penonton untuk satu perlawanan, manakala hukuman bermain tanpa penonton untuk perlawanan yang kedua ditangguh terlebih dahulu.

Perlawanan terbabit adalah ketika menentang Perak dalam kempen Piala Malaysia pada 30 Ogos 2014 serta dua aksi Liga Super 2015 menentang Perak pada 20 Jun lalu dan ketika menentang Felda United pada 27 Jun lalu.

Tambah Abdullah, beliau berharap pemain Sarawak tetap akan bermain bermati-matian pada perlawanan itu nanti meskipun tanpa kehadiran penyokong setia dalam usaha memastikan tiga mata penuh dapat dikutip.

Dalam pada itu, FAS juga berharap para penyokong sentiasa mendoakan yang terbaik buat Sarawak dan menyeru mereka datang beramai-ramai ke Stadium Negeri pada aksi seterusnya 24 Oktober ini dalam pertemuan dengan Johor Darul Takzim (Johor DT).