Ketumpulan serangan mereka juga menyaksikan Sarawak hanya mampu mencatat keputusan seri dua perlawanan dan bakinya tumpas termasuk kekalahan yang disifatkan 'memalukan' di hadapan kira-kira 2,000 peminat sendiri di Stadium Sarawak, kelmarin.

Kekalahan 0-3 itu menyaksikan Sarawak hanya mampu mengutip dua mata setakat ini dan sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) melakukan sesuatu kerana jumlah mata itu merupakan sesuatu yang jauh daripada jangkaan.

Perlawanan kelmarin menunjukkan bukan nasib tidak menyebelahi pasukan, tetapi aksi pemain penyerang Sarawak yang gagal memanfaatkan sepenuhnya peluang terhidang.

Keghairahan menyerang akhirnya dihukum penyerang berpengalaman, V. Saravanan yang menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit yang menjejaskan rentak permainan pasukan Bujang Senang itu.

Gol pada minit ke-37 dan 41 itu kemudiannya disusuli satu lagi gol oleh Muhd. Syafiq Abd Samad pada minit ke-86 sekali gus menyaksikan peminat setia terus bertindak meninggalkan stadium.

Ketua jurulatih Sarawak, Mohd. Zaki Sheikh Ahmad yang ditemui selepas perlawanan nyata kecewa dengan ketumpulan penyudah barisan penyerangnya dan mengucapkan tahniah kepada pasukan ATM kerana memanfaatkan setiap peluang yang dijelmakan.

Katanya, walaupun Sarawak berjaya menjelmakan banyak peluang, namun masalah penyudah terus 'membelenggu' pasukannya sebagaimana empat perlawanan sebelum ini yang menyaksikan permainan berkesudahan masing-masing dua kali kalah dan seri.

''Kalau semua peluang itu diambil, sudah tentu keadaan tidak menjadi sebegini. Kamu pun boleh menilai sendiri perlawanan itu," katanya.

Mohd Zaki bagaimanapun menegaskan, beliau tidak tertekan akibat kekalahan itu kerana beranggapan anak buahnya telah bermain dengan baik pada setiap masa perlawanan.

Jelasnya, pemainnya bukan tidak bermain dengan baik tetapi mereka gagal untuk menyudahkan peluang yang terhidang.

''Kamu pun lihat sendiri bagaimana penyerang gagal menyempurnakan gol walaupun berhadapan dengan situasi satu lawan satu," katanya.

Sementara itu, jurulatih ATM, Zulhamizan Zakariah mengucapkan tahniah kepada anak-anak buahnya selepas menjadikan permainan seimbang.