Naib Presiden Barcelona, Jordi Mestre mendedahkan, Coutinho, 25, sanggup menerima gaji yang lebih rendah untuk membolehkannya beraksi bersama kelab Catalan itu.

Bersama Liverpool, dia menikmati gaji 200,000 pound (RM1.10 juta) seminggu. Namun, Mestre tidak mendedahkan gaji yang diterima pemain itu dalam kontrak lima tahun bersama Barcelona.

Begitupun katanya, Coutinho bukan pemain pertama sanggup memotong gaji demi Barcelona.

Dua bekas bintang Liverpool, Luis Suarez dan Javier Mascherano juga pernah melakukan perkara yang sama sebelum ini.

“Coutinho telah melakukan pemotongan (gaji) yang besar sama seperti Mascherano dan Suarez ketika datang ke sini.

“Ini menunjukkan keinginan tinggi mereka untuk bermain buat Barcelona,” katanya.

Menurut Mestre, walaupun membeli Coutinho dengan harga tinggi tetapi mereka menggunakan wang hasil penjualan Neymar ke Paris Saint Germain (PSG).

Neymar menyertai PSG dengan rekod perpindahan dunia 220 juta euro (RM1.067 bilion).

Selain Coutinho, Barcelona turut membawa masuk Ousmane Dembele pada harga 95 juta pound (RM522.14 juta), Paulinho 36 juta pound (RM198 juta) dan Nelson Semedo 27 juta pound (RM149 juta).

Coutinho sejak awal lagi memberitahu, adalah menjadi impiannya sejak kecil untuk menyarung jersi Barcelona kerana kehebatan dan sejarah yang dimiliki gergasi bola sepak Sepanyol itu.

Sementara itu, Mestre memberi amaran kepada Liverpool bahawa mereka sedia untuk terus memancing bintang Reds seandainya pembelian Coutinho terbukti berbaloi.

“Kalau ia (pembelian Coutinho) terbukti berjaya, kami sedia mendapatkan beberapa lagi pemain Liverpool selepas ini.

“Namun begitu, ia (harga pemain) perlulah lebih murah,” kata Mestre, yang menolak tanggapan banyak pihak bahawa Barcelona mengeluarkan wang yang keterlaluan untuk mendapatkan Coutinho.

Tegasnya, pemain Brazil itu memang telah lama berada dalam sasaran mereka dan kelab perlu membayar untuk harga yang berpatutan bagi mendapatkan pemain yang benar-benar diperlukan.

“Kami tidak akan berbincang soal angka (wang). Apa yang penting, kami ada pemain yang kami mahukan di sini.

“Kalau saya dedahkan angka, ia akan melanggar perjanjian dengan Liverpool,” katanya lagi. – AGENSI