Skuad Red Giants pada awalnya dilihat berupaya mengesat air mata kekecewaan dalam dua perlawanan terdahulu selepas Sean Selvaraj membuka jaringan pada minit ke-78.

Bagaimanapun strategi pengendali Sabah, Jelius Ating membawa masuk Rahman Shah Marajeh membuahkan hasil apabila penyerang tersebut hanya memerlukan satu minit untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-82.

Masih belum puas, Sang Badak meneruskan semangat untuk memburu tiga mata apabila Rahman Shah sekali lagi meledak gol bagi memastikan kemenangan berpihak kepada tuan rumah pada penghujung perlawanan.

Selangor yang dikendalikan oleh Nazliazmi Nasir masih gagal membuang badi kekalahan sejak menyingkap tirai Piala Malaysia pada 4 Ogos lalu apabila tewas kepada PKNS FC 0-3, diikuti Pahang 0-2, sekali gus langsung tidak mengumpul sebarang mata.- UTUSAN ONLINE