Bintang antarabangsa Chile itu bergelut untuk kembali ke prestasi terbaiknya selepas meninggalkan Arsenal, Januari tahun lalu dan masalah kecederan juga menyekat peluangnya beraksi dalam kesebelasan utama.

Sanchez masuk menggantikan Jesse Lindgard ketika menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Old Trafford tetapi gagal memberikan sebarang impak dan terpaksa akur dengan keputusan 0-2.

Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer berpendapat, tiada apa yang boleh mengubah pemain itu melainkan jaringan gol.

Ketiadaan Lindgard dan Anthony Martial selama tiga minggu, membuka ruang untuk Sanchez beraksi dalam saingan Piala FA menentang Chelsea selain berpeluang untuk beraksi menentang seteru tradisi mereka, Liverpool.

“Saya rasa dia adalah pemain yang bagus. Dia berbakat tetapi tidak semua perkara boleh diselesaikan menerusi perbincangan.

“Awak boleh lihat aksi menentang Fulham, apabila dia mendapat peluang, dia sangat cekap mengawal bola tetapi jika dia berjaya menjaringkan gol, sudah pasti keyakinannya akan terus bertambah.

“Perkara ini biasa terjadi kepada pemain, adakalanya kita tidak mencapai standard yang diinginkan tetapi merasakan kita adalah pemain terbaik.

“Apabila sampai masanya, dia akan kembali ke prestasi terbaiknya,” katanya.-AGENSI