Data yang dikumpulkan dari permulaan musim hingga 11 Februari lalu menunjukkan berapa banyak Manchester United membelanjakan wang untuk setiap pemain mereka.

Akhbar The Sun telah menolak gaji beberapa pemain sepanjang mereka tidak beraksi akibat kecede­raan, sebelum membahagikannya dengan pendapatan kolektif sepanjang musim dan kemudian dibahagi pula dengan aksi setiap minit.

Dalam kes Sanchez, 30, dia menikmati gaji 505,000 pound (RM2.68 juta) seminggu tetapi hanya disenarai dalam 19 daripada 26 perlawanan United.

Dia juga tidak beraksi dalam semua perlawanan itu dan lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

Pemain antarabangsa Chile itu hanya berada di atas padang selama 615 minit musim ini, sekali gus menjadikan dia antara ‘pembaziran’ terbesar di Old Trafford.

Fred, 25, yang dibeli dari Shakhtar Donetsk pada harga 52 juta pound (RM276.44 juta), Jun, tahun lalu juga antara pemain bergaji mahal tetapi tidak dimanfaatkan sepenuh­nya.

Bintang tengah Brazil itu dibayar 120,000 pound (RM638,000) seminggu, namun disebabkan dia hanya beraksi selama 566 minit musim ini, bermakna dia mendapat gaji 6,000 pound (RM31,900) seminit.

Nasib Sanchez dan Fred berbeza dengan penyerang terbaik United ketika ini, Marcus Rashford yang menerima bayaran paling rendah mengambil kira gaji diperoleh dengan jumlah permainan di atas padang.

Gaji Rashford, 22, yang menjadi watak penting Red Devils musim ini adalah 45,000 pound (RM238,000) s­eminggu.

Mengambil kira jumlah permainannya di atas padang iaitu 1,525 minit keseluruhan, dia menikmati gaji 767 pound (RM4,073) seminit.

Jumlah pendapatan pemain United menjadi perhatian menjelang aksi genting Liga Perdana Inggeris menentang musuh ketat, Liverpool di Old Trafford, Ahad ini.

Menjelang perlawanan itu, pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer menggesa pemain-pemain berstatus bintang agar menunjukkan kemam­puan sebenar dan membuktikan kepada peminat mengapa mereka layak menikmati gaji tinggi. – AGENSI