Sanchez dilaporkan tidak berada dalam perancangan Ole Gunnar Solskjaer dan warga Norway itu bersedia menyandang jawatannya secara tetap di Old Trafford selepas mempamerkan prestasi cemerlang selaku pengurus sementara menggantikan Jose Mourinho yang dipecat.

Akhbar England, The Sun mendakwa mereka terdesak untuk membiarkan pemain itu pergi, malah, Solskjaer sedia mendengar tawaran untuk meminjam Sanchez bagi meringankan bebanan bayaran gajinya yang mahal.

Sanchez menandatangani perjanjian selama empat tahun sewaktu dia berpindah ke United dari Arsenal, Januari tahun lalu dan difahamkan pemain itu menerima gaji sekitar 400,000 pound (RM2.13 juta) seminggu dan pendapatannya boleh meningkat kepada 500,000 pound (RM2.66 juta) berserta bonus.

Penyerang berusia 30 tahun itu dilaporkan dilihat berada di Nou Camp sedang menyaksikan perlawanan bekas kelabnya, Barcelona menewaskan Rayo Vallecano 3-1, hujung minggu lalu, yang sekali gus mencetuskan spekulasi Sanchez mungkin bersedia untuk kembali ke Sepanyol.

Dia kini masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan lutut yang menyaksinya terpaksa diketepikan sehingga musim berakhir.

Solskjaer, sebelum ini, mengakui bimbang tentang tahap persembahan Sanchez, tetapi menegaskan, dia akan memberi pemain itu peluang untuk membuktikan kemampuan sebenarnya.

“Dia sangat berbakat, tetapi sudah tentu, kami perlu duduk berbincang dan cuba cari jalan penyelesaian. Jika dia mampu menjaringkan gol, saya yakin keyakinannya akan meningkat,” katanya. - AGENSI