United akan bertandang ke Juventus untuk kembali bertemu bekas anak emasnya Cristiano Ronaldo, dua minggu selepas tewas 0-1 di Old Trafford yang menyebabkan skuad kendalian Mourinho itu ketinggalan lima mata di belakang Old Lady yang kini menerajui Kumpulan H.

Namun, berbanding memi­kirkan kekuatan pasukan lawan, adalah lebih baik Uni­ted menilai kemampuan diri sendiri dan perlawanan dengan Bournemouth Sabtu lalu mungkin dapat memberikan sedikit gambaran bagaimana strategi yang akan diterapkan oleh pe­ngurusnya Jose Mourinho di Turin nanti.

Penyerang Belgium, Romelu Lukaku mengalami kecedera­an dan tidak diturunkan ketika United menang 2-1 ke atas Bournemouth manakala Marcus Rashford diletakkan di bangku simpanan dengan Mourinho memilih untuk menggunakan tiga penyerang iaitu Anthony Martial dan Juan Mata membantu Sanchez dari bahagian sayap.

Sanchez membantu Martial menghasilkan gol penyamaan United pada babak pertama dan sudah tentu dia kecewa kerana digantikan pada penghujung permainan.

Red Devils memenangi perlawanan itu menerusi pemain gantian Rashford pada masa kecederaan, Sanchez dilihat menggunakan perlawanan itu untuk menampilkan prestasi terbaiknya sejak berpindah ke Old Trafford pada Januari.

Mengulas mengenai prestasi Sanchez berdasarkan perlawanan dengan Bournemouth, Mourinho memuji prestasi bekas penyerang Arsenal itu dan menegaskan dia tidak memerlukan pemain penyerang tengah untuk mengetuai jentera sera­ngannya.

“Saya suka menggunakan tiga penyerang dan pemain sayap bukan semestinya bermain di posisi mereka. Saya sentiasa memiliki apa yang diperlukan dalam pasukan ini dengan pemain sayap meledak banyak gol dan adakalanya menjaringkan lebih banyak gol daripada penyerang.

“Jadi, tidak mustahil untuk mempunyai kesemuanya pada waktu yang sama, sebagai contoh menurunkan Rashford, Lukaku dan Alexis namun hari ini Romelu tidak boleh diturunkan dan kami fikir Alexis mampu melakukan tugasnya dengan baik.

“Apa yang dia buat, mencipta gerakan gol, dia boleh bermain di posisi berlainan dengan baik, dia juga menimbulkan kesukaran kepada lawan, tetapi pada babak kedua saya tahu dengan memasukkan Rashford dan (Jesse) Lingard mereka juga boleh memberi impak,” kata Mourinho. – AFP