Tidak dinafikan semakin tinggi status karier anda sebagai ahli sukan maka semakin tinggi tekanan yang bakal anda hadapi, mana tidaknya semua pasti mahu melihat anda meraih kemenangan dalam setiap pertandingan diharungi.

Bagi bintang bola sepak Chile, Alexis Sanchez dia sentiasa berdepan masalah mood yang tidak stabil terutama apabila tewas dalam perlawanan tumpuan melibatkan pasukan kebangsaan dan kelabnya Manchester United.

Bagaimanapun, dia tahu bagaimana untuk menenangkan kembali emosinya akibat setiap kekalahan yang dihadapi iaitu dengan bermain piano sendirian di rumah.

Ramai yang tidak percaya pemain berusia 29 tahun itu mampu bermain piano dengan baik dan semuanya terbukti apabila Uni­ted mendedahkan video perpindahan Sanchez dari Arsenal pada Januari lalu dengan bermain alat muzik tersebut.

Video khas itu ditonton sebanyak 6.8 juta kali malah ada penyokong United yang terkejut melihat keupayaan jari-jemari Sanchez bergerak pantas bermain piano.

Kata Sanchez, bermain piano bagaikan satu terapi buat dia bagi membantu melupakan tekanan yang dihadapi sebagai pemain bola sepak profesional.

Tambah pemain tersebut, masa paling kerap dia bermain piano adalah ketika dalam pemulihan daripada kecederaan.

“Saya bukan seorang pemain piano yang hebat namun ia membantu saya untuk lebih tenang dan melupakan seketika tentang bola.

“Apabila saya pulang ke rumah saya tidak mahu melihat apa-apa tentang bola sebaliknya ingin bermain dengan anjing saya dan meluangkan masa bersama keluarga kerana ia membantu saya kembali cergas keesokan harinya.

“Ini bermakna apabila mental anda telah tenang maka kekuatan anda akan bertambah untuk beraksi di atas padang,” kata Sanchez.